Wan Fazli diintai beberapa pasukan Liga Super
Wan Fazli diintai beberapa pasukan Liga Super

Wan Fazli diintai beberapa pasukan Liga Super

Kuala Terengganu: Selepas muncul penjaring terbanyak pasukan Terengganu FC II (TFC II) dalam kancah Liga Perdana musim ini, ‘saham’ Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali kian melambung tinggi selepas diintai beberapa pasukan Liga Super yang mahukan khidmatnya musim depan.

Pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan, selain skuad Liga Super, pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini juga turut menyatakan minat untuk melamarnya.

Bagaimanapun penyerang utama skuad The Turtles kelahiran Kuala Krai, Kelantan yang lebih mesra dipanggil ‘Pok Li’ menjelaskan keutamaannya adalah untuk beraksi bersama pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan sekiranya khidmatnya diperlukan skuad itu.

Tambahnya, dia perlu membuat pemilihan yang tepat mengenai pasukan baharunya nanti bagi mengelak ‘diperam’ kerana impiannya adalah untuk mewakili pasukan kebangsaan suatu hari nanti.

“Selepas membantu pasukan TFC II menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keempat musim ini, saya ada menerima tawaran daripada pasukan besar Liga Super bagi memperkuatkan skuad mereka musim depan.

“Begitu juga beberapa pasukan daripada Liga Perdana musim ini turut menyatakan hasrat untuk mengambil saya beraksi dengan pasukan mereka musim depan, tapi perbincangan lanjut dengan semua pasukan berkenaan masih diteruskan demi karier saya.

“Namun sekiranya saya menerima tawaran daripada pasukan utama TFC, keutamaan saya adalah untuk beraksi di negeri ini kerana sudah selesa selain pengurusan terbaik, tapi jika tidak ada tawaran, saya terpaksa membuat keputusan berhijrah,” kata pemain yang menjadikan pemain Real Madrid, Karim Benzema sebagai idolanya.

Terdahulu pemain yang dicungkil menerusi Liga Bolasepak Rakyat bersama pasukan Setiu pada 2015/2106 sebelum mewakili pasukan Piala Presiden Terengganu bermula 2017 hingga 2019, mencipta sensasi apabila tiga kali menyumbat dua gol dalam satu perlawanan bermula menentang Kelantan United FC (KUFC), Kelantan FC dan terbaharu pada aksi terakhir liga Sabtu lalu bertemu Skuad Projek FAM-MSN.

Sepanjang musim ini, penjaring terbanyak Piala Presiden 2019 dengan meledak 15 gol itu menjaringkan lapan gol selepas diangkat menjadi penyerang utama sesudah pemain import, Jordan Mintah beraksi bersama Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada pertengahan liga.

Pemain berketinggian 1.74 meter itu juga pernah membantu pasukan Piala Presiden Terengganu muncul juara pada 2018 dan naib juara pada 2017 sebelum menyertai pasukan TFC II selama tiga musim bermula 2020.

“Impian saya untuk membantu pasukan menamatkan saingan Liga Perdana musim ini sekurang-kurangnya di tempat ketiga, tapi kedudukan keempat sudah memadai kerana pasukan dibarisi ramai pemain muda selain hanya dua tonggak import,” katanya.

(Visited 466 times, 1 visits today)

COMMENTS