Warga emas hilang ditemui mati
Warga emas hilang ditemui mati

Warga emas hilang ditemui mati

Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu, akhirnya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kebun getah Felda Laka Temin, Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mayat Lim Boo Sing @ Lim Yam Huat, 80, ditemui kira-kira satu kilometer dari kenderaan miliknya itu di kawasan kebun getah itu.

Nanda berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui kira-kira jam 3.20 petang tadi selepas kenderaan miliknya ditemui orang awam di kebun getah berkenaan pada Khamis lepas.

“Difahamkan, anak perempuan mangsa ke rumah warga emas itu di Mata Ayer di sini kira-kira jam 9.30 pagi pada 9 Disember lalu dan mendapati bapanya tiada di rumah tersebut.

“Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan gagal menghubungi bapanya sejak 8 Disember lepas dan bertemu kali terakhir dengan bapanya pada sehari sebelum di rumah wanita itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki warga emas itu dipercayai keluar dari rumahnya dengan menaiki menaiki kereta jenis Proton Iswara warna biru gelap sebelum kehilangannya dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat awam memaklumkan bahawa kereta warga emas itu ditemui di kebun getah tersebut lebih kurang jam 5.30 petang pada 10 Disember lalu.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan beberapa agensi termasuklah PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) digerakkan demi mencari warga emas itu sejak semalam,” katanya.

“Bagaimanapun, mayat lelaki disyaki warga emas itu ditemui lebih kurang satu kilometer dari kenderaan sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Artikel Penuh : Sinar Harian

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS