Warga IPK Kedah sumbang barangan keperluan kepada keluarga terkesan situasi semasa.
Warga IPK Kedah sumbang barangan keperluan kepada keluarga terkesan situasi semasa.

Warga IPK Kedah sumbang barangan keperluan kepada keluarga terkesan situasi semasa.

ALOR SETAR – Di sebalik pelbagai sumbangan diberikan kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kalangan pegawai dan anggotanya turut tidak ketinggalan melakukan amal dan kebajikan dengan kembali menyumbang kepada masyarakat khususnya mereka yang terkesan dengan situasi semasa ketika ini.

Ketua Polis Kedah, Dato’ Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya telah melakukan kutipan derma secara sukarela dalam kalangan pegawai dan anggota bagi membeli makanan kering untuk disalurkan kepada keluarga memerlukan.

“Jumlah kutipan tidak perlu saya hebahkan namun sebanyak kira-kira 415 keluarga akan menerima pemberian barangan kering ini.

“Bagi kami, ini merupakan sebahagian daripada cara untuk ‘mengindahkan’ lagi kehadiran Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah dekat sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakyat Kedah kerana memberi kerjasama amat baik dalam memastikan PKP dipatuhi hingga membolehkan penularan COVID-19 di negeri ini, ditangani sebaik mungkin.

Begitu pun katanya, ketika ini terlihat kecenderungan dari segelintir pihak yang seakan mengabaikan PKP kerana menganggap situasi semasa kian pulih.

“Saya sendiri lihat ada dalam kalangan remaja menaiki motosikal berdua pada waktu yang tidak sepatutnya. Saya tegaskan, ketika ini kita menggembleng hingga 2,500 pegawai dan anggota untuk melaksanakan sekatan jalan raya di Kedah.

“Namun kita masih perlukan kerjasama dari ketua keluarga untuk memantau isi rumah masing-masing. Pastikan ahli keluarga terus mematuhi PKP dan kawal pergerakan mereka di sepanjang tempoh ini,” katanya.

Tambahnya hingga semalam, seramai kira-kira 2,000 individu telah ditahan di negeri ini kerana melanggar PKP dengan sebahagian daripada mereka telah pun dituduh di mahkamah serta dikompaun.

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS