Waris pelajar bantah perpindahan sementara Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam

Waris pelajar bantah perpindahan sementara Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam

Ibu bapa dan para waris pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam, Kota Kuala Muda hari ini mengadakan bantahan aman membantah cadangan penutupan sementara sekolah itu dan memindahkan operasi ke Sekolah Kebangsaan Seri Kuala.

Menurut pengerusi Sekretariat Badan Bertindak Waris Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam, Badron Hisham Bahari, mereka membantah cadangan perpindahan operasi sekolah itu atas beberapa faktor. Antaranya, mahu mempertahankan sekolah itu sebagai pusat pengajian tertua di kawasan tersebut yang mana telah beroperasi melalui empat generasi.

 

Badron Hisham Bahari, Pengerusi Sekretariat Badan Bertindak Waris Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam

Selain itu, faktor lokasi Sekolah Kebangsaan Seri Kuala yang berada antara 6 hingga 7 kilometer dari kampung mereka juga dikatakan antara faktor utama waris membantah cadangan tersebut.

“Rata-rata penduduk kampung bekerja sendiri. Yang sering berulang alik menghantar dan mengambil pelajar ini adalah ibu atau datuk yang sudah tua. Lokasi yang jauh hanya menyusahkan kaum ibu dan datuk yang sudah berusia ini untuk mengambil dan menghantar anak atau cucu mereka ke Sekolah Seri Kuala selain faktor jalanraya yang sibuk dan jalan ‘panas’ yang sering dihuni atau diganggu oleh penagih dadah. Jadi kami bimbangkan keselamatan kaum ibu atau pelajar itu sendiri ketika dalam perjalanan ke sekolah.” ujar beliau dalam perhimpunan itu.

Antara waris pelajar yang menyertai bantahan aman penutupan SKBM

Sekolah Kebangsaan Seri Kuala juga dikatakan lebih berbahaya dan berisiko berbanding Sekolah Bukit Meriam. Sekolah tersebut juga pernah dilanda tsunami yang berlaku pada 2004 selain mengalami masalah infrastruktur yang tidak mencukupi.

“Untuk menampung anak-anak SKBM ini, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) terpaksa sumbat anak-anak SKBM dalam kontena. Ini tak patut. Selain daripada itu, Sekolah Seri Kuala ini juga selalu mengalami ribut disebabkan ianya terdedah dengan laut, kejadian air pasang besar yang sering berlaku dan yang paling dasyat ialah pada 26 Disember 2004, berlaku tsunami yang mengakibatkan kematian 7 orang di kawasan kuala, runtuhan rumah dan sebagainya,” tambah beliau lagi.

Kaum ibu turut terkesan dengan penutupan sekolah terbabit apabila terpaksa menghantar anak ke sekolah yang lebih jauh

Atas faktor terbabit, para waris pelajar menuntut pihak berwajib mempertimbangkan semula notis perpindahan itu dengan mengekalkan pembelajaran di sekolah tersebut serta memperbaiki infrastruktur yang telah rosak dan membuat pengukuhan cerun mengikut kaedah JKR.

Sementara itu, bekas guru besar sekolah terbabit, Azizi bin Omar, 62, berkata semasa beliau menjawat jawatan itu pada tahun 2017, permohonan untuk pengukuhan cerun telah pun dibuat dan diluluskan namun tidak dilaksanakan sehinggalah beliau bersara.

Azizi bin Omar, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam.

“Kelulusan telah diberi untuk pengukuhan cerun. Kalau lebuhraya runtuh 2,3 kali pun boleh dibaiki dan diperkukuhkan semula, takkan setakat Bukit Meriam ini tak boleh buat, setakat ni takdak lagi rumah yang ditimpa batu Bukit Meriam ni.”

Beliau juga berharap kerajaan dapat memberi peruntukan untuk kerja-kerja pengukuhan cerun dan seterusnya mengekalkan sekolah terbabit untuk kesenangan dan kemudahan anak cucu penduduk di situ untuk menimba ilmu.

Turut hadir memberikan sokongan moral kepada penduduk kampung ketika bantahan berlangsung ialah Ustaz Rosli Yusof, Ketua Amanah Kawasan Sungai Petani yang juga merupakan bekas Penyelaras DUN Pantai Merdeka. Beliau ketika ditemui menyatakan rasa sedih dengan penerimaan notis daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menyatakan penutupan sekolah berkenaan.

Ustaz Rosli Yusof, Ketua Amanah Kawasan Sungai Petani

“Bagi saya, sepatutnya kerajaan mengekalkan pembelajaran disekolah ini dengan latar belakang sejarah dan merupakan satu sekolah yang menjadi satu khazanah pendidikan untuk Kuala Muda/Yan. Saya memohon jasa baik kerajaan untuk menilai kembali apa yang diputuskan oleh JPN untuk menutup sementara atau mungkin selamanya sekolah ini. Kita mahu kerajaan menilai bantahan rakyat yang terdiri daripada waris dan penduduk di enam kampung tersebut untuk mengekalkan dan meneruskan pembelajaran di sini ”

Menurut Ustaz Rosli lagi, perpindahan operasi sekolah itu hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah dan beliau juga yakin kerajaan khususnya jabatan pendidikan negeri tidak akan menggadaikan keselamatan dan masa depan anak-anak yang belajar di sekolah terbabit.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )