Wujud 3 kes baru penularan tempatan Covid-19 di Sabah hari ini – Noor Hisham

Wujud 3 kes baru penularan tempatan Covid-19 di Sabah hari ini – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat tujuh kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah setakat ini 8,904 kes.

Daripada tujuh kes baru itu, empat adalah kes import melibatkan tiga warga dan seorang bukan warga yang berkahwin dengan rakyat tempatan.

Tiga kes penularan dalam negara pula melibatkan warga Malaysia, dengan kesemuanya dikesan di Sabah.

Ketiga-tiga kes dikesan melalui saringan pra-pembedahan, dan dua kes dirawat di Hosptail Queen Elizabeth di Kota Kinabalu dan satu kes lagi di Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Likas.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seorang lagi pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 8,601 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada pertambahan kes kematian dan tiada pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menghantar pasukan yang diketuai timbalan ketua pengarah kesihatan (penyelidikan dan sokongan teknikal) ke Sarawak, selepas negeri tu mencatat kes tertinggi bagi minggu epid ke-30 (19 hingga 25 Julai) dengan 48 kes baru.

“Ia untuk meninjau dan membantu memberikan pandangan mengenai situasi penularan serta pengurusan jangkitan Covid-19 di sana.

“Pasukan tersebut terdiri daripada pakar perubatan kesihatan awam, pakar perubatan patologi dan sebagainya. Mereka telah bekerjasama rapat dengan pasukan pelbagai disiplin di Sarawak,” katanya lagi.

Selepas Sarawak, Johor menjadi negeri dengan kes kedua tertinggi dengan 29 kes, diikuti Selangor dengan 19 kes.

Berhubung kluster Bukit Tiram melibatkan sebuah gereja Roman Katolik, Noor Hisham berkata ia telah dijadikan sebagai kumpulan sasar bagi pendekatan tertumpu.

Katanya, pengesanan terhadap individu yang menghadiri pusat keagamaan yang dikenal pasti dan semua kontak rapat akan dilaksanakan segera.

“Selain itu, individu yang berisiko tinggi atau berkait rapat dengan kumpulan ini juga amat digalakkan untuk melakukan saringan Covid-19 sendiri. Jika mempunyai gejala, hubungi klinik kesihatan dan pejabat kesihatan daerah,” katanya yang turut menggesa agar masyarakat tidak menstigmakan mereka.

Noor Hisham turut membangkitkan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia yang menurutnya amat membimbangkan, dengan kes harian semalam sebanyak 259,037 kes, menjadikan jumlah kes setakat ini kepada 16 juta.

“Jika kes harian di Malaysia meningkat secara mendadak, fasiliti kesihatan kita tidak akan dapat menampung beban tinggi yang seterusnya akan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Bagi mengelakkan situasi itu, setiap indvidu daripada semua peringkat dan lapisan masyarakat perlu patuh kepada prosedur operasi standard dan nasihat KKM,” katanya.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Berita penuh : MALAYSIAKINI

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )