Zahid "tawar hati" dengan sikap Pas, tiada lagi Muafakat Nasional
Zahid “tawar hati” dengan sikap Pas, tiada lagi Muafakat Nasional

Zahid “tawar hati” dengan sikap Pas, tiada lagi Muafakat Nasional

Kerjasama Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata ini kerana Umno telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN namun tidak disepakati.

Himpunan Penyatuan Ummah Piagam MN yang dimeterai Umno dan PAS pada 14 Sept 2019 antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam serta Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

“Jadi eloklah kita lupakan saja hasrat yang dinyatakan mereka (PAS) itu,” katanya ketika menjawab soalan pemberita sama ada Umno akan bergerak secara solo pada PRU15 ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Kompleks UMNO Bagan Datuk, semalam.

Ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini yang menyifatkan penyatuan ummah menerusi MN sebagai formula terbaik, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata ia adalah pandangan parti tersebut.

Ahmad Zahid turut disoal mengenai gesaan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana masih tidak mengikut keputusan parti menyokong kerajaan hari ini yang diterajui parti itu.

Beliau berkata Umno bersikap terbuka dalam meraikan perbezaan pandangan.

“Saya fikir kalau Lembaga Disiplin Umno mahu ambil tindakan, bukan sekadar beliau tetapi ramai lagi bekas pemimpin sama ada yang jadi Ahli Parlimen atau berada di luar kepimpinan Majlis Tertinggi yang boleh diambil tindakan.

“Lembaga Disiplin Umno mempunyai budi bicara tertentu bagi mengambil tindakan yang keras sekiranya merosakkan perpaduan parti,” katanya.

Nazri pada Khamis lepas dilapor berkata Lembaga Disiplin Umno perlu mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Razaleigh kerana pemimpin itu memilih untuk kekal dalam blok Bebas.

– Bernama

(Visited 55 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )